ORANG ramai memakai pelitup muka ketika berjalan berhampiran jeti Santa Monica Pier. FOTO AFP
ORANG ramai memakai pelitup muka ketika berjalan berhampiran jeti Santa Monica Pier. FOTO AFP
AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara yang diancam pandemik Covid-19 supaya bangkit dan berdepan realiti, daripada terus berbalah.

Pengarah Kecemasan WHO Michael Ryan memberitahu perkara itu kepada pemberita pada taklimat anjuran persatuan koresponden Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di sini, semalam.

"Masyarakat perlu bangkit. Data tidak menipu," katanya.

Kira-kira 10.8 juta individu dijangkiti Covid-19 dengan 521,000 individu di seluruh dunia meninggal dunia sejak tercetusnya wabak itu di China pada akhir tahun lalu.

Amerika Syarikat merekodkan kes jangkitan dan kematian tertinggi dengan angkanya terus melonjak di seluruh negara itu.

Ketika ditanya mengenai situasi di Brazil dan Mexico yang semakin membimbangkan, Ryan memaklumkan terlalu banyak negara yang mengabaikan data Covid-19.

"Ada alasan munasabah negara terbabit perlu membuka ekonomi.

"Perkara itu boleh difahami, tetapi anda tidak boleh mengabaikan masalah kerana ia tidak akan pergi begitu saja," katanya.

Menurut Ryan, masih belum terlambat bagi negara terjejas untuk mengawal daripada virus itu terus menular.

Beliau mengesyorkan negara terbabit mengambil usaha lebih bersasar berbanding

melaksanakan 'lockdown'.

Katanya, ia termasuk melonggarkan sekatan di kawasan yang kurang terjejas di samping mengambil langkah pencegahan berkaitan.

Menurutnya, ia termasuk penjarakan sosial, kerap mencuci tangan, meningkatkan ujian saringan dan pengesanan kontak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 2:39 PM