X
PETUGAS hospital memindahkan pesakit ke wad lain di United Memorial Medical Center, Houston, Texas. FOTO AFP
PETUGAS hospital memindahkan pesakit ke wad lain di United Memorial Medical Center, Houston, Texas. FOTO AFP
AFP

WASHINGTON: Hospital di Amerika Syarikat (AS) berdepan bahaya jika berlaku lonjakan kes baharu koronavirus, menyerupai India yang merekod peningkatan kes mendadak.

Amaran itu oleh pegawai di pusat krisis koronavirus negara berkenaan, berikutan AS masih bergelut memerangi Covid-19 yang menyebabkan hampir 130,000 kematian dengan 2.8 juta kes, manakala jangkitan meningkat di banyak negeri selepas sekatan dilonggarkan.

Katil di sebahagian besar hospital di Texas penuh, sementara ramai pihak mendesak supaya perintah duduk rumah yang baharu disegerakan.

Ada Datuk Bandar berkata, mereka membuka bandar terlalu awal ketika Presiden Donald Trump sedang mengambil langkah mengurangkan penularan di seluruh negara.

Ketua Eksekutif Daerah Harris termasuk Houstan, Texas, Lina Hidalgo berkata, hospital di daerah itu, Houstan dan 33 lagi bandar beroperasi dalam kapasiti penuh.

"Katil diisi pesakit Covid-19 semakin bertambah. (Tapi) restoran masih dibuka, acara tertutup boleh diadakan tidak kira jumlah. (Sedangkan) apa yang kita perlukan sekarang adalah buat apa yang perlu iaitu perintah duduk di rumah," katanya kepada ABC TV.

Datuk Bandar Austin, Texas, Steve Adler pula menyuarakan kebimbangan terhadap sistem penjagaan kesihatan sekiranya jangkitan menular pantas.

"Jika kita tidak adakan perubahan, dalam tempoh dua minggu lagi hospital akan terlebih operasi dan unit rawatan rapi (ICU) menyusul 10 hari kemudiannya," katanya kepada CNN.

Kate Gallego yang juga Datuk Bandar Phoenix pula berkata, "kami membuka Arizona terlalu awal." Beliau juga mencadangkan supaya perintah duduk di rumah yang baharu dikeluarkan.

India berhadapan situasi sama apabila 25,000 kes baharu dengan 613 kematian dalam tempoh 24 jam dilapor pada Ahad, jumlah tertinggi sejak Covid-19 menular di negara itu hujung Januari lalu.

Disebabkan itu, Taj Mahal kekal ditutup kerana risiko jangkitan global dan di New Delhi, petugas perubatan terpaksa merawat pesakit di pusat keagamaan yang ditukar menjadi hospital sementara dengan 10,000 katil - kebanyakannya diperbuat daripada kadbod dan disalut bahan kimia supaya kalis air.

Pandemik itu sehingga kini mengorbankan 531,789 orang, manakala 11 juta dijangkiti di 196 negara.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 3:51 PM