X
BELLA Hadid. FOTO AFP/ Instagram
BELLA Hadid. FOTO AFP/ Instagram
Agensi

Los Angeles: Model terkenal, Bella Hadid berang selepas Instagram (IG) memadam satu hantaran berhubung tempat kelahiran bapanya iaitu Palestin.

Fox News melaporkan hantaran di IG Story berkenaan memaparkan gambar pasport Mohamed Hadid yang pada mulanya didakwa melanggar peraturan platform berkenaan.

"Instagram memadam IG Story saya yang memaparkan tempat kelahiran bapa saya dengan gambar pasport Amerika Syarikat miliknya," kata model itu pada Selasa.

Hadid, model kacukan Palestin-Belanda itu mempersoalkan sama ada kandungan hantaran berkenaan adalah membuli atau gambar tidak senonoh.

Katanya, tindakan itu jelas membuli kerana tidak membenarkan seseorang mengakui diri sebagai Palestin di IG.

Sehubungan itu, dia memuat naik sekali lagi hantaran sama dengan kapsyen; 'Adakah kamu (IG) mahu saya mengubah tempat kelahirannya untuk kamu?"

Pada masa sama, Bella mendedahkan dia bangga mengakui dirinya berketurunan Palestin.

Dia juga meminta pengikutnya yang berjumlah 31.5 juta supaya 'memuat naik tempat kelahiran ibu dan bapa mereka'.

"Ingatkan kepada mereka (ibu bapa) bahawa anda berbangga dengan asal usul anda," katanya.

Sementara itu, IG dalam reaksinya berkata, pihaknya memohon maaf kerana tersilap ketika bertindak memadamkan hantaran berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 11:03 AM