FOTO menunjukkan nama Isis yang ditulis pada bekas minuman berkenaan. FOTO Agensi
FOTO menunjukkan nama Isis yang ditulis pada bekas minuman berkenaan. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Dia memberitahu namanya adalah Aishah sebaliknya barista menulis namanya sebagai Isis.

Itu penghinaan dialami seorang wanita Muslim ketika membeli minuman di sebuah kafe francais popular di Amerika Syarikat (AS) pada 1 Julai lalu.

Wanita yang dikenali sebagai Aishah itu tidak berpuas hati dengan tindakan barista berkenaan sebelum membuat aduan dan tuntutan kepada Jabatan Hak Asasi Manusia.

Dia turut membuat laporan kepada Dewan Hubungan Amerika-Islam (CAIR) kerana berasakan dia ditindas hanya kerana agama dianutinya.

"Ketika saya melihat perkataan itu ditulis pada bekas minuman, saya menjadi amat beremosi kerana merasakan dihina dan diperlekehkan," katanya kepada CNN.

Ketika kejadian, Aishah memakai pelitup muka berikutan jangkitan Covid-19 masih menular di negara itu.

Menurutnya, dia berulang kali memaklumkan namanya kepada barista itu dan mustahil dia mendengar perkataan Isis.

Tidak berpuas hati dengan tindakan biadab barista berkenaan, Aishah bertemu dengan pengurusan restoran.

Dia kemudian diberikan minuman gantian selain baucar tunai.

Jurucakap restoran kemudian menyatakan permohonan maaf atas tindakan pekerja berkenaan.

Isis adalah nama lain untuk kumpulan militan yang mahu menegakkan negara Islam.

Sesetengah media menggunakan nama lain seperti Daish, Daesh, ISIL dan IS untuk menggambarkan kumpulan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 6:29 AM