PERTAMBAHAN bilangan kematian di India akibat Covid-19 mendorong penghasilan keranda berkos rendah. Gambar kecil rakaman CCTV kejadian petugas hospital membuang mayat di tepi jalan.
PERTAMBAHAN bilangan kematian di India akibat Covid-19 mendorong penghasilan keranda berkos rendah. Gambar kecil rakaman CCTV kejadian petugas hospital membuang mayat di tepi jalan.
Agensi

New Delhi: Orang ramai terkejut dengan tindakan dua petugas kesihatan lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE) membuang mayat pesakit Covid-19 di bahu jalan di Bhopal, tengah India, Isnin lalu.

Menerusi laporan Tribunnews.com, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mayat lelaki itu dibuang oleh petugas kesihatan dari hospital di Bhopal.

Dalam rakaman itu, kelihatan dua petugas mengeluarkan mayat dari sebuah ambulans sebelum membuangnya di bahu jalan.

Menyedari tindakan itu, pihak berkuasa yang menerima laporan bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Mayat yang dibuang itu seorang pekerja di kawasan perindustrian yang dimasukkan ke hospital sejak dua minggu lalu kerana penyakit buah pinggang.

Namun, beberapa hari terakhir sebelum menghembuskan nafasnya, pesakit itu dikatakan mengalami masalah sukar bernafas selain radang paru-paru.

Selepas disahkan menghidap Covid-19, pihak hospital mahu memindahkan pesakit itu ke Hospital Chirayu khusus bagi merawat pesakit berkenaan koronavirus.

Anak lelaki mangsa mengesahkan bapanya masih bernyawa ketika diambil dari hospital di Bhopal untuk dipindahkan ke Hospital Chirayu.

"Mengapa ayah saya perlu dipindahkan ke hospital lain sebelum dibuang di tepi jalan seperti ini?" katanya kepada NDTV.

Lebih mengecewakan apabila pengurusan dua hospital masih tidak memberikan sebarang maklum balas dan maklumat lanjut mengenai tindakan membuang mayat bapanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 7:15 AM