X
DUA bandar pelancongan Sepanyol sudah ditutup berikutan Covid-19. FOTO Agensi.
DUA bandar pelancongan Sepanyol sudah ditutup berikutan Covid-19. FOTO Agensi.
Agensi

Madrid: Bandar pelancongan terkenal di Sepanyol berkemungkinan ditutup semula selepas jangkitan baharu koronavirus dikesan membabitkan tetamu majlis perkahwinan.

Seramai 23 orang termasuk pengantin perempuan hadir majlis dianjurkan di Tudela dan disahkan positif Covid-19.

Ia meletakkan 35,000 penduduk bandar kedua terbesar di Navarre itu dalam keadaan berjaga-jaga dan diminta memakai pelitup muka serta mematuhi arahan penjarakan sosial bagi mengekang penularan jangkitan.

Permintaan sama turut dipanjangkan ke bandar Pamplona yang terkenal dengan lumba lembu, juga di Navarre selepas lima kes baharu Covid-19 dilaporkan dalam kalangan keluarga sama menghadiri majlis itu.

Pegawai kesihatan di Tudela belum lagi menentukan sama ada penganjuran majlis dibenarkan mengikut peraturan mencegah koronavirus yang ketat atau sama ada jumlah tetamu melebihi sepatutnya.

Namun, pihak itu menjangkakan memperoleh lebih banyak keputusan positif, memandangkan semua pihak berkaitan disaring, termasuk pekerja di lokasi penganjuran dan bar yang dikunjungi tetamu selepas majlis.

Awalnya, dua tetamu diuji selepas mereka tidak sihat dan apabila disahkan positif Covid-19, 34 orang lagi menjalani ujian saringan dengan 21 daripadanya positif.

Seorang daripada mereka kini dirawat di Reina Sofia Hospital, yang mana khemah dibina di luar untuk pesakit bergejala menjalani ujian saringan.

Semua tetamu majlis terbabit dan kontak rapat sudah dikuarantin selama 14 hari, manakala individu positif setakat ini berusia lebih 50 tahun.

Susulan jangkitan terbaharu itu, beberapa premis perniagaan di Tudela ditutup termasuk bar dan pasar raya biasa dikunjungi penduduk.

Datuk Bandar Tudela, Alejandro Toquero dilapor mengeluarkan amaran perintah berkurung boleh dikuatkuasakan semula susulan perkembangan terkini itu.

"Sekali lagi, tanggungjawab diperlukan dan anda dirayu supaya terus mengambil langkah penjarakan sosial serta memakai pelitup muka," katanya.

Tudela popular dalam kalangan pelancong yang berminat dengan sejarah dan seni bina lama, manakala Pamplona menangguhkan acara lumba lembu.

Ratusan orang dijangka bercuti ke Sepanyol selepas sekatan perjalanan dilonggarkan termasuk dari England.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 2:00 PM