Lolly sering berpura-pura ‘mati’ kononnya dilanggar kenderaan. FOTO AGENSI
Lolly sering berpura-pura ‘mati’ kononnya dilanggar kenderaan. FOTO AGENSI
Agensi

England: Seekor kucing yang diberi nama Lolly sering berpura-pura 'mati' kononnya dilanggar kenderaan menyebabkan pemiliknya terpaksa mengedarkan risalah bagi mengingatkan orang ramai bahawa kucingnya itu sekadar mencari perhatian.

Lolly selalu membuat aksi terbaring di jalan raya dengan mata tertutup selain lidahnya terkeluar, menyebabkan pengguna jalan raya menyangka ia mati akibat kemalangan tragik.

Pemiliknya, Lesley Southam berkata, aksi itu dibuat semata-mata kerana mahukan perhatian dan dia terpaksa membuat risalah bagi memberi amaran kepada penduduk di sekitar Banbury, di sini mengenai 'perangai' Lolly.

"Ia sukakan perhatian. Ia akan berbaring tanpa sebarang gerakan sehingga orang ramai akan memeriksa lebih dekat sama ada ia masih hidup atau tidak.

"Lolly agak popular di sini dan semua penduduk mengenalinya," katanya.

Selain berlakon mati, Lolly yang berusia 14 tahun itu juga gemar menaiki kenderaan orang tidak dikenali selain kerap 'mengunjungi' pejabat yang terletak di bandar itu.

Risalah yang diedarkan itu antara lain turut memuatkan nombor telefon Lesley.

"Hai nama saya Lolly. Saya gemar berpura-pura mati. Jangan risaukan saya.

"Semua orang di sini mengenali saya. Jika anda risaukan saya, boleh menghubungi pemilik saya," tulis Lesley dalam risalah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 6:18 PM