X
BELON udara panas melakukan pendaratan cemas di sebuah kawasan perumahan di Illinois. FOTO Huntley Fire Protection District
BELON udara panas melakukan pendaratan cemas di sebuah kawasan perumahan di Illinois. FOTO Huntley Fire Protection District
Agensi

WASHINGTON: Orang ramai gempar selepas menyaksikan belon udara panas membuat pendaratan cemas di sebuah kawasan perumahan di Illinois.

Timbalan Ketua Daerah Perlindungan Kebakaran Huntley, Al Schlick berkata, juruterbang terpaksa berbuat demikian selepas seorang daripada lima penumpang belon udara itu tidak sedarkan diri.

Difahamkan, belon udara panas itu berada di udara selama hampir satu jam sebelum penumpang berkenaan iaitu wanita berusia 80 tahun, pitam.

"Kami melihat ke luar tingkap dan melihat ada belon udara panas berada antara rumah penduduk di sini.

"Mereka (penumpang) kemudiannya melambai ke arah kami dan kami membalas lambaian itu semula.

"Tetapi, kami tidak sedar bahawa jarak sebenar (antara kami dengan belon udara panas) itu terlalu dekat," kata seorang penduduk seperti dilaporkan CNN.

Kejadian berkenaan juga sempat dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) milik penduduk.

Menurut Schlick, belon udara panas itu mendarat dengan selamat dan penumpang terbabit juga sudah sedarkan diri.

Katanya, penumpang terbabit turut diperiksa oleh pasukan perubatan tetapi dia enggan dibawa ke hospital.

"Juruterbang berkenaan melakukan tugasnya dengan cemerlang dan melakukan pendaratan di antara dua rumah.

"Tugas itu memerlukan kemahiran yang luar biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 6:45 AM