BERNAMA

Jakarta: Suspek kes pedofilia warga Perancis yang disyaki melakukan jenayah seksual terhadap lebih 300 kanak-kanak di Indonesia, meninggal dunia dipercayai akibat bunuh diri ketika dalam tahanan polis, kelmarin.

Ketua Hubungan Masyarakat Polis Metro Jaya (Polis Jakarta) Yusri Yunus berkata, suspek ditemui Khamis lalu dalam keadaan tergantung dengan seutas wayar di dalam lokap Polis Metro Jaya.

"Suspek dihantar ke Rumah Sakit Kramat Jati, Jakarta Timur dan selepas beberapa hari menerima rawatan, suspek disahkan meninggal dunia jam 8 malam tadi (kelmarin)," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beberapa media sebelum ini melaporkan Francois Abello Camille, 65, ditahan bulan lalu dan polis turut menemui beratus filem dan video perlakuan seksnya dengan kanak-kanak berusia 10 hingga 17 tahun di dalam komputer riba miliknya.

Berdasarkan kenyataan Polis Metro Jaya sebelum ini, suspek ditahan di sebuah hotel di Jakarta pada bulan lalu bersama dua kanak-kanak bawah umur.

Siasatan awal polis mendapati suspek dipercayai melakukan jenayah pedofilia terhadap 305 kanak-kanak bawah umur di Indonesia.

Berita berkaitan

akam 305 'aksi' bersama kanak-kanak

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 10:25 AM