X
AFP

SYDNEY: Seorang wanita yang berlumuran darah akibat diserang jerung sempat mengatakan 'saya masih sayangkan jerung' ketika dibawa ke hospital.

Penggiat filem berusia 29 tahun itu, diserang jerung ketika berenang di pantai di Queensland, menyebabkannya mengalami luka dan kemungkinan berdepan retak pada buku lali.

Namun, wanita itu yang sedang dalam proses menghasilkan dokumentari mengenai jerung, tetap menyayangi haiwan berkenaan.

"Saya tetap sayangkan jerung. Ia sangat cantik," jeritnya ke arah kamera ketika dibawa menggunakan pengusung.

Walaupun wanita itu berada dalam kesakitan kita pasukan paramedik tiba, dia kini stabil, mampu tersenyum dan sangat gembira, kata anggota paramedik, Terry Cumming.

Ahli biologi marin, Gareth Phillips berkata, keadaan luka dan kecederaan dialami wanita berkenaan boleh dianggap sebagai tidak serius dan kemungkinan ia bukan disebabkan gigitan jerung.

"Ia mungkin spesis ikan lain bersaiz besar. Jika ia adalah jerung, ia pasti jerung bersaiz sangat kecil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 9:14 PM