X
PENEMPATAN penduduk Yahudi di Tebing Barat. FOTO fail AFP
PENEMPATAN penduduk Yahudi di Tebing Barat. FOTO fail AFP
BERNAMA

Ramallah: Presiden Mahmoud Abbas pada Selasa berkata, rakyat Palestin bersedia meneruskan rundingan damai yang tertangguh, jika Israel menghentikan rancangannya untuk aneksasi atau merampas sebahagian wilayah Tebing Barat, lapor agensi berita Xinhua.

Beliau berkata demikian dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Britain Boris Johnson pada Selasa malam, memetik agensi berita Palestin WAFA.

Pemimpin Palestin itu memberitahu Johnson, Kuartet Antarabangsa dan negara-negara lain harus menaja sebarang rundingan damai dengan Israel serta perlu bersandarkan kepada resolusi antarabangsa.

Abbas turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Johnson yang menyokong usaha damai dan menolak rancangan Israel itu.

Dua bulan lalu Abbas membatalkan semua perjanjian dan persefahaman yang disepakati dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS), termasuk perjanjian keselamatan, sebagai membantah rancangan Israel.

Rundingan damai antara Israel dan Palestin terhenti sejak 2014 selepas AS menjadi penaja selama sembilan bulan tanpa mencapai sebarang kemajuan, disebabkan perbezaan Israel-Palestin mengenai isu berkaitan keselamatan dan sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 12:22 PM