Agensi

San Francisco: Dua remaja dan pemuda didakwa di mahkamah kerana menggodam akaun Twitter individu terkenal termasuk ahli politik, selebriti dan ikon teknologi untuk menipu membabitkan lebih $100,000 (RM424,000) dalam mata wang kripto.

Suspek termasuk remaja British berusia 19 tahun dari Bognor Regis; pemuda berusia 22 tahun dari Orlando, Florida dan remaja 17 tahun dari Tampa, Florida yang ditahan pada Jumaat.

The Guardian melaporkan pihak berkuasa berkata, pejabat Pendakwa Raya Hillsborough memfailkan 30 pertuduhan jenayah terhadap suspek berusia 17 tahun yang juga dalang utama.

Dua lagi dikenali Nima Fazeli, 22, dan remaja British, Mason 'Chaewon' Sheppard menghadapi tuduhan membantu dan bersekongkol dengan sengaja mengakses komputer yang dilindungi.

Sementara itu, Pejabat Peguam Negara AS di San Francisco mengumumkan pendakwaan terhadap tiga suspek berkenaan kerana terbabit dalam serangan siber pada pertengahan Julai lalu yang menggegarkan Twitter.

Butiran mengenai suspek ketiga tidak didedahkan kerana masih di bawah umur tetapi difahamkan mereka merujuk kepada suspek utama yang menghadapi tuduhan sebagai pesalah dewasa.

Pihak pendakwa berkata, penggodaman Twitter itu membabitkan gabungan 'gangguan teknikal dan penstrukturan sosial' yang membolehkan penggodam merampas akaun Twitter ahli politik, selebriti dan pemuzik.

Defendan terbabit dituduh mewujudkan akaun palsu mata wang kripto, Bitcoin, untuk menghantar ciapan menawarkan ganjaran menggandakan deposit Bitcoin yang dibuat.

Menurut Twitter, serangan 'spear phishing' menggunakan telefon itu membolehkan penggodam mengambil alih akaun individu terkenal seperti Bill Gates, Elon Musk dan Barack Obama.

"Penggodam hanya menggunakan nama individu terkenal terbabit dan mereka bukan mangsa utama, sebaliknya yang tertipu adalah orang awam.

"Mereka merampas ratusan akaun Twitter berprofil tinggi ini pertengahan Julai lalu selepas mendapat akses dengan memperdaya beberapa kakitangan Twitter menerusi 'spear phishing' bagi mendedahkan kata laluan mereka," katanya dilapor AFP.

Secara keseluruhan, kira-kira 130 akaun Twitter digodam, ciapan palsu dihantar daripada 45 akaun dan penggodam mengakses mesej peribadi 36 akaun serta memuat turun data daripada tujuh akaun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 11:26 AM