FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

New Delhi: Juruteknik makmal sebuah hospital kerajaan di Amravati, Maharashtra, ditahan selepas mencabul seorang wanita sewaktu melakukan ujian saringan Covid-19.

Ia selepas suspek dikatakan mengambil sampel dari alat kelamin wanita berkenaan.

Gulf News melaporkan pada kejadian 28 Julai lalu, wanita berusia 23 tahun terbabit menjalani ujian saringan di makmal berkenaan.

Mangsa dikehendaki menjalani ujian bersama 20 individu lain selepas menjadi kontak rapat kepada rakan sekerja yang dijangkiti Covid-19.

Selesai menjalani ujian pertama, suspek dipercayai menghubungi mangsa dan memintanya menjalani ujian saringan air kencing.

Suspek juga dikatakan memberitahu wanita berkenaan bahawa tiada juruteknik wanita di makmal berkenaan tetapi membenarkan jika mangsa mahu membawa rakannya.

Lelaki itu kemudian melakukan 'ujian' terhadap alat sulit mangsa dan memberitahu keputusannya negatif.

Mangsa yang curiga memberitahu perkara itu kepada abangnya dan terkejut apabila diberitahu tiada ujian perlu dilakukan di bahagian alat sulit bagi mengesan Covid-19.

Susulan itu, dia membuat laporan polis dan suspek ditahan pada malam hari sama.

Ketika ini, suspek masih ditahan sementara bagi membantu siasatan lanjut perkara itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 4:05 PM