SERPIHAN debu daripada letupan dari pelabuhan berkenaan. FOTO AFP
SERPIHAN debu daripada letupan dari pelabuhan berkenaan. FOTO AFP
AFP

Beirut: Lubnan akan mencari dalang yang menyebabkan letupan di pelabuhan di sini, yang setakat ini mengorbankan 73 orang dan mencederakan lebih 3,700 orang.

Perdana Menteri, Hassan Diab berkata, kejadian berkenaan adalah satu malapetaka yang besar.

"Sesiapa yang bertanggungjawab perlu dihukum kerana perbuatan mereka," katanya.

Setakat ini, kenyataan rasmi negara itu tidak menyifatkan letupan berkenaan sebagai serangan.

Menurut Diab, ia berpunca daripada baja pertanian ammonium nitrat seberat 2,750 tan yang disimpan di gudang di pelabuhan berkenaan.

Bahan berkenaan dikatakan dirampas sejak beberapa tahun lalu dan disimpan di lokasi berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang (waktu tempatan), letupan dipercayai berlaku di pelabuhan bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan di kawasan itu.

Impaknya menyebabkan kerosakan pada beberapa bangunan lain yang terletak beberapa kilometer dari lokasi letupan itu.

Beberapa bangunan di sekitarnya termasuk kediaman bekas Perdana Menteri, Saad Hariri turut musnah serta mengalami kerosakan teruk.

Letupan kedua menyebabkan bola api ke udara yang turut menggegarkan bandar, menyebabkan pecahan tingkap tersebar ke beberapa kilometer.

Malah, letupan berkenaan boleh dirasai sehingga ke Cyprus yang terletak kira-kira 200 kilometer dari lokasi kejadian.

Pihak berkuasa menjangkakan angka korban akan meningkat.

Berita berkaitan:

  • 73 maut dalam letupan di pelabuhan Lubnan
  • Letupan Lubnan, 'serangan mengerikan' - Trump
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 9:44 AM