X
TIKTOK. FOTO AFP
TIKTOK. FOTO AFP
AFP

Washington: Perdana Menteri Australia Scott Morrison pada Selasa berkata, tiada bukti bahawa aplikasi TikTok yang dimiliki oleh syarikat China menyalahgunakan data peribadi penggunanya.

Beliau berkata, ia selepas pihaknya melakukan penelitian berhubung perkara berkenaan.

"Sudah terlampau banyak benda memalukan di TikTok, tetapi ia biasa untuk media sosial seperti itu," katanya sambil tertawa menerusi telesidang pada mesyuarat Forum Keselamatan Aspen di Colorado.

Bagaimanapun katanya, rakyat Australia perlu lebih berhati-hati dalam menggunakan TikTok dan media sosial lain termasuk yang dimiliki oleh Amerika Syarikat.

Katanya, ia berikutan aplikasi seumpama itu boleh mengumpul data pengguna dan pelanggan dalam skala yang besar.

Menurutnya, dalam isu TikTok, maklumat dikumpul aplikasi boleh diakses oleh pihak berkuasa China.

Ia merujuk kepada keperluan untuk syarikat China itu berkongsi data dengan perisikan negara, jika diminta berbuat demikian.

"Saya fikir orang ramai perlu faham bahawa pengguna perlu sedar (mengenai perkara itu)," katanya.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebelum ini dilaporkan memberi tempoh enam minggu kepada TikTok untuk menjual operasi perniagaannya di AS kepada syarikat negara itu.

Jika tidak, aplikasi video dari China itu akan dilarang untuk beroperasi di negara berkenaan.

Langkah itu dikatakan diambil atas alasan keselamatan.

Selain itu, Trump mahu urus niaga itu memberikan faedah kepada kerajaan AS.

Trump berkata, Microsoft kini sedang mengadakan rundingan untuk membeli operasi perniagaan TikTok di AS.

Sehubungan itu, beliau memberikan sehingga pertengahan September ini untuk pemilik TikTok, ByteDance untuk memuktamadkan urus niaga berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 12:09 PM