X
KESAN letupan yang berlaku pelabuhan di Beirut, Lubnan. FOTO AFP
KESAN letupan yang berlaku pelabuhan di Beirut, Lubnan. FOTO AFP
Agensi

Beirut: Letupan yang berlaku di bandar ini dikatakan berpunca daripada percikan api hasil aktiviti mengimpal pintu gudang.

Mirror melaporkan, berdasarkan laporan stesen televisyen Lubnan LBCI, siasatan awal mendapati letupan itu berlaku selepas tercetusnya api hasil aktiviti kimpalan.

"Seseorang dikatakan mengimpal lubang kecil pada pintu gudang untuk mengelakkan kejadian curi di situ," kata laporan itu.

Letupan yang berlaku semalam itu berpunca daripada baja pertanian ammonium nitrat seberat 2,750 tan yang disimpan di gudang di pelabuhan berkenaan.

Bahan berkenaan dikatakan dirampas sejak beberapa tahun lalu dan disimpan di situ.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang (waktu tempatan), letupan dipercayai berlaku di pelabuhan bukan saja mengakibatkan kemusnahan di kawasan berkenaan malah, impaknya menyebabkan kerosakan pada beberapa bangunan lain yang terletak beberapa kilometer dari lokasi letupan.

Letupan kedua menyebabkan bola api ke udara yang turut menggegarkan bandar, menyebabkan pecahan tingkap tersebar ke beberapa kilometer.

Malah, letupan berkenaan boleh dirasai sehingga ke Cyprus yang terletak kira-kira 200 kilometer dari lokasi kejadian.

Sehingga kini, lebih 100 kematian dilaporkan dan lebih 4,000 cedera.

Sementara itu, LBCI turut melaporkan bahawa berdasarkan rumusan kes undang-undang pada 2015 yang dikendalikan firma guaman Beirut, Baroudi & Associates, terdapat kapal kargo dikenali sebagai MV Rhosus berdepan masalah teknikal ketika berada di pelabuhan Beirut.

Ia dikatakan milik ahli perniagaan Rusia dan berlayar dari Georgia ke Mozambique dengan muatan ammonium nitrate pada September 2013.

Selepas diperiksa pihak berkuasa pelabuhan, kapal berkenaan tidak dibenarkan meneruskan perjalanan.

"Tidak lama selepas itu, kapal itu dibiarkan tersadai oleh pemiliknya selepas penyewa kehilangan minat terhadap barangan yang dibawa," kata rumusan berkenaan.

Beberapa pemberi kredit tampil namun, usaha menghubungi pemilik dan penyewa untuk mendapatkan bayaran gagal.

Baroudi & Associates berkata, pihaknya membawa kes berkenaan ke mahkamah bagi menggesa pihak berkuasa membenarkan kru kapal pulang kerana 'keadaan bahaya muatan kapal itu'.

"Berdasarkan risiko yang perlu ditanggung jika ammonium nitrate dibawa menggunakan kapal berkenaan, pihak berkuasa menempatkannya di gudang pelabuhan," kata rumusan itu.

Laporan itu diterbitkan pada 2015 oleh The Arrest News, buletin dari rangkaian undang-undang maritim di Sepanyol yang digelar Ship Arrested.

Kedua-dua editor buletin dan firma undang-undang mengesahkan akaun itu berasal dari Baroudi & Associates.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 11:44 PM