X
Doni Irawan ketika menghadapi pertuduhan di Mahkamah Daerah Medan kerana musnahkan al-Quran. FOTO Agensi
Doni Irawan ketika menghadapi pertuduhan di Mahkamah Daerah Medan kerana musnahkan al-Quran. FOTO Agensi
AFP

Medan: Seorang rakyat Indonesia dihukum penjara kerana memusnahkan al-Quran dalam kes menghina agama yang jarang berlaku di negara majoriti Islam itu.

Mahkamah daerah Medan di Sumatera menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Doni Irawan Malay, 44, kurang daripada tempoh empat tahun yang dipohon pihak pendakwa raya.

"Defendan didapati bersalah menghina agama Islam," kata hakim Tengku Oyong ketika membacakan keputusan mahkamah.

Doni menjadi tajuk utama akhbar di republik terbabit awal tahun ini apabila dia berlari keluar dari masjid di Medan bersama senaskhah al-Quran yang dimasukkan ke dalam seluarnya.

Dia kemudian mengoyakkan kitab itu dan membuang helaian muka suratnya dalam tong sampah, sebelum ditangkap oleh sekumpulan individu yang berang dengan perbuatannya.

Kumpulan hak asasi sudah lama berkempen menentang undang-undang menghina agama di Indonesia, yang didakwa kerap disalah guna bagi mensasarkan penganut Kristian, Buddha dan agama minoriti lain di negara dengan 90 peratus penduduk Islam itu.

Tahun lalu, Mahkamah Agung Indonesia menolak rayuan seorang wanita etnik Cina beragama Buddha yang dihukum penjara 18 bulan, kerana mengadu mengenai tahap bunyi azan dari masjid.

Kes itu mencetuskan kebimbangan bahawa konsep kesederhanaan Islam yang diamalkan Indonesia, kini diancam oleh golongan radikal yang semakin berpengaruh.

Pada 2017, bekas gabenor Jakarta yang juga pemimpin beragama Kristian kaum Cina pertama bandar itu, dijatuhkan hukuman dua tahun penjara kerana menghina agama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 11:56 PM