TRUONG bergambar di hadapan kediamannya yang dipenuhi dengan hiasan porselin. FOTO Agensi
TRUONG bergambar di hadapan kediamannya yang dipenuhi dengan hiasan porselin. FOTO Agensi
Agensi

Hanoi: Akibat terlampau obses dengan porselin, seorang lelaki warga Vietnam menghiasi rumahnya dengan 10,000 pinggan, mangkuk dan tembikar diperbuat daripada bahan itu.

Oddity Central melaporkan, Nguien Van Truong, 58, menjadikan barangan itu sebagai perhiasan di dinding rumahnya, sejak 25 tahun lalu.

Dia mula menggemari perhiasan porselin selepas bersara sebagai anggota tentera dan kembali ke tanah air di kampung Kieu Son yang terletak di wilayah Vinh Phuc.

Selepas itu, Truong menjadi tukang kayu dan mengumpul pelbagai barangan antik yang diperbuat daripada porselin.

Dia kemudian berjinak-jinak sebagai pengumpul sehingga sanggup menjelajah sehingga ke wilayah di utara Vietnam semata-mata untuk mendapatkan barangan berkenaan.

Lelaki itu juga terpaksa berbelanja besar bagi mendapatkan koleksi diinginkan yang sebahagian besarnya dihasilkan pada abad ke-17 dan ke-18.

Pada awalnya, Truong mahu menjual semula koleksi porselinnya, namun melupakan hasrat itu kerana terlampau sayangkan barangan itu.

Bagaimanapun, hobi itu sukar diterima oleh keluarganya memandangkan dia perlu mengeluarkan belanja besar.

Adakalanya, lelaki itu sanggup meminjam wang asalkan dapat membeli perhiasan berkenaan.

Truong berkata, dia menjadikan barangan porselin itu sebagai dekorasi dinding rumahnya kerana khuatir ia pecah atau dicuri.

Menurutnya, dekorasi dilakukan itu juga caranya untuk memastikan koleksi porselin miliknya terus terpelihara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 6:15 AM