X
Seorang jururawat memegang tiga bayi baru dilahirkan ketika insiden letupan di Beirut. FOTO Agensi
Seorang jururawat memegang tiga bayi baru dilahirkan ketika insiden letupan di Beirut. FOTO Agensi
Agensi

Beirut: Seorang jururawat tetap menjalankan tugasnya walaupun nyawanya dihujung tanduk.

Tindakan jururawat ini yang memegang tiga bayi baru dilahirkan ketika insiden letupan nyata mengagumkan orang ramai.

Wartawan foto, Bilal Jawich yang berada di rumah ketika insiden letupan mengorbankan ratusan nyawa itu sempat mengikuti kesan ke kawasan berhampiran pelabuhan Beirut di lokasi kejadian.

Menjelaskan kepada CNN Arabic, jiwa kerjayanya itu membawanya ke Hospital Al Roum di Ashrafieh, terletak tidak jauh dari kawasan yang hancur akibat letupan itu.

"Apa yang saya lihat di sana sungguh luar biasa. Saya kagum apabila melihat jururawat itu memegang tiga bayi yang baru lahir.

"Lebih kagum, saya perhatikan ketenangan jururawat itu di samping beberapa mangsa yang mati dan cedera terbaring berdekatan.

"Namun, jururawat itu tetap tenang dan memiliki kekuatan tersembunyi sehingga mampu mengawal diri dan kemampuan untuk menyelamatkan anak-anak itu. Sesuailah dengan tugasnya sebagai jururawat," katanya.

Jawich berkata, jururawat itu memberitahunya petang kejadian dia berada di wad bersalin ketika letupan meletus.

"Dia memberitahu selepas kejadian itu dia seolah-olah tidak sedarkan diri tetapi mendapati dirinya memegang tiga anak ini," katanya.

Bagaimanapun, tidak semua orang bernasib baik di hospital berkenaan.

Pengurus kecemasan dan bencana hospital berkenaan memberitahu CNN, 12 pesakit, dua pelawat dan empat jururawat maut dalam insiden letupan itu sementara dua masih kritikal. Sebanyak 80 peratus hospital mengalami kerosakan manakala 50 peratus kerosakan peralatan.

Saad memberitahu CNN bahawa bayi dan ibu telah dipindahkan ke hospital lain. Terdahulu, ibu kota Beirut rosak teruk susulan letupan besar yang mengakibatkan ratusan penduduk terkorban, manakala ribuan lagi mengalami kecederaan.

Letupan berlaku di sebuah gudang di kawasan Pelabuhan Beirut yang digunakan untuk menyimpan hampir 3,000 tan bahan kimia ammonium nitrat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 7:00 AM