Afzal K tidak sempat menaiki pesawat kerana terlambat lima minit kerana mempunyai denda tinggal melebihi tempoh dibenarkan di negara itu dan visa tamat tempoh. FOTO Agensi
Afzal K tidak sempat menaiki pesawat kerana terlambat lima minit kerana mempunyai denda tinggal melebihi tempoh dibenarkan di negara itu dan visa tamat tempoh. FOTO Agensi
Agensi

Dubai: Seorang lelaki warganegara India terselamat daripada menjadi mangsa nahas pesawat Air India Express, Jumaat lalu, kerana terlewat lima minit untuk menaiki pesawat berkenaan.

Ia selepas Afzal K perlu menjelaskan denda kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menceritakan kejadian, lelaki itu berkata, pada mulanya dia berasa kecewa kerana tidak sempat menaiki pesawat berkenaan.

Lebih-lebih lagi, sudah setahun dia tidak pulang ke kampung halamannya di Kerala.

Memetik laporan Gulf News, lelaki berusia 26 tahun itu berkata, dia seharusnya meninggalkan UAE pada 10 Julai lalu selepas visa kerjanya dengan Royal Dates tamat pada Jun.

Berikutan pandemik yang melanda dunia, dia tidak dapat pulang ke kampung asalnya.

"Saya terfikir untuk menetap di UAE sehingga Disember dengan visa jangka panjang.

"Tetapi, kerana penerbangan dibuka untuk repatriasi, saya putuskan untuk pulang menerusi misi Vande Bharat.

"Misi Vande Bharat adalah inisiatif kerajaan India yang membawa pulang rakyat India akibat sempadan ditutup akibat Covid-19.

"Akhirnya, saya terpilih untuk pulang dengan pesawat pada 7 Ogos, menerusi misi itu," katanya.

Menceritakan lanjut, pada jam 8.30 pagi dia berada di lapangan terbang dengan penuh bersemangat.

Katanya, dia melakukan ujian darah sebelum diberikan pas pelepasan dengan nombor kerusi 18C.

"Bagaimanapun, saya kemudian dikenakan 1,000 dirham (kira-kira RM1,000) kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan di negara ini dan harus menjelaskan bayaran itu sebelum menaiki pesawat," katanya.

Dengan pertolongan rakan senegara, dia berjaya membayar denda itu, tetapi hampa apabila diberitahu tidak sempat menaiki penerbangan berkenaan.

Afzal pergi ke rumah kakaknya dan selepas itu tertidur kerana keletihan.

"Sebaik bangun tidur, alangkah terkejutnya saya apabila mendapat tahu pesawat yang patut saya naiki itu terhempas," katanya.

Dalam nahas berkenaan, pesawat dari Dubai itu terbelah dua apabila terbabas dan tergelincir daripada landasan ketika mendarat di Kozhikode, selatan India.

Setakat ini, 18 orang disahkan maut, manakala lebih 100 orang cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 7:30 AM