FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

New Delhi: Seorang lelaki di India tidak menyangka dapat menemui kembali dompetnya berisi wang yang hilang sejak 14 tahun lalu.

Hemant Padalkar kehilangan dompetnya yang mengandungi 900 rupee (RM50.50) ketika menaiki kereta api di Chhatrapati Shivaji Maharaj Terminus di Panvel pada 2006.

India Today melaporkan April lalu, lelaki itu menerima panggilan daripada Polis Kereta Api Kerajaan (GRP) Vashi mengenai penemuan dompetnya itu.

Bagaimanapun, dia terpaksa tangguh membuat tuntutan kerana perintah berkurung akibat Covid-19.

Padalkar yang menetap di Panvel berkata, dia kemudian menuntut dompet yang masih berisi wang itu di pejabat GRP di Vashi.

"Ketika hilang, dompet saya mengandungi 900 rupee termasuk wang 500 rupee (RM28) yang sudah dimansuhkan (pada 2016). GRP Vashi memulangkan 300 rupee (RM16) kepada saya.

"Mereka menolak 100 rupee (RM5.61) untuk duti setem dan baki 500 rupee (RM28) akan dipulangkan selepas menukar dengan wang kertas baharu.

"Saya sangat gembira dapat semula wang saya yang hilang itu," katanya kepada PTI.

Pegawai GRP mengesahkan, pencuri dompet Padalkar sudah ditahan. -Agensi

"Kami menemui dompet Padalkar mengandung 900 rupee daripada suspek.

"Kami menyerahkan 300 rupee (RM17) kepada pemiliknya dan akan memulangkan bakinya selepas wang itu ditukar dengan mata wang kertas baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 7:01 AM