LESEN memandu wanita berkenaan. FOTO Agensi
LESEN memandu wanita berkenaan. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Bukan wajahnya, sebaliknya seorang wanita di Amerika Syarikat (AS) terkejut apabila melihat lesen memandunya cuma mengandungi foto sebuah kerusi.

CNN melaporkan, walaupun foto untuk lesen itu tidak seperti kebiasaan, namun wanita dari Tennessee cuma mampu ketawa selepas menyedari kesilapan kerani yang menguruskan lesen itu.

Dodd berkata, dia memperbaharui lesen memandunya di daerah Hickman dan terperanjat selepas menerima e-mel lesen itu pada Khamis cuma mengandungi gambar kerusi kosong.

"Pada mulanya kerani wanita di DMV tidak percaya apabila saya memberitahunya kesilapan itu.

"Kemudian wanita itu membuat pemeriksaan dalam sistem sebelum mengakui kesilapan itu," katanya kepada CNN.

Pengarah Komunikasi Jabatan Keselamatan Tennessee, Wes Moster berkata, kesilapan itu itu berlaku apabila gambar lain dirakam dan digunakan untuk profil Dodd.

"Pelanggan itu memperbaharui lesennya secara atas talian, namun dia menerima imej kerusi kerana itu adalah gambar terakhir diambil dalam fail.

"Selepas pihak jabatan menyedari situasi dialaminya, kami segera membetulkan kesilapan dan membuat lesen baharu menggunakan foto asal wanita itu," katanya dalam satu kenyataan.

Kejadian berkenaan tular dan menjadi bahan jenaka warganet di media sosial kerana menganggap kejadian itu melucukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 3:57 PM