Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Agensi

Muscat: Mengemis bukan hanya satu jenayah di Oman bahkan, dianggap ancaman kepada negara dalam tempoh penularan Covid-19.

Berikutan itu, Kementerian Hal Ehwal Undang-Undangnya mengeluarkan amaran melarang rakyatnya daripada mengemis dan melayani pengemis, susulan peningkatan jumlah golongan itu sejak beberapa bulan ini.

Kementerian menggelar perbuatan mengemis sebagai jenayah, tindakan tidak bertamadun dan membawa pelbagai risiko khususnya ketika Covid-19.

Kemunculan peminta sedekah menyebabkan orang lain terdorong untuk menderma, sedangkan perbuatan itu boleh mengancam keamanan negara.

"Tolong jauhi peminta sedekah dalam usaha untuk mengekang perbuatan yang melanggar undang-undang dan meletakkan negara ini dalam bahaya," kata kenyataan itu seperti dilapor Gulf News.

Kementerian itu juga memberi amaran bahawa menggunakan budak bawah umur atau menyerahkannya kepada orang lain dengan niat untuk dijadikan pengemis, adalah jenayah yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan denda 100 Oman Rial (RM1,089.33).

Hukuman itu boleh digandakan jika pesalah adalah ibu bapa kanak-kanak atau penjaga yang dipertanggungjawabkan.

"Mahkamah boleh merampas wang sedekah daripada pesalah dan mengarahkan pesalah dihantar pulang sekiranya warga asing," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 11:37 AM