PELABUHAN Beirut selepas letupan bahan kimia yang melumpuhkan ibu negara Lebonan. FOTO AFP
PELABUHAN Beirut selepas letupan bahan kimia yang melumpuhkan ibu negara Lebonan. FOTO AFP
AFP

Geneva: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata agensi di bawahnya sedang berusaha mengenal pasti jenis serpihan berbahaya yang mencemari sekitar pelabuhan Beirut selepas letupan dahsyat, 4 Ogos lalu.

Penasihat Krisis Program Pembangunan PBB Rekha Das berkata, pihaknya juga menyiasat sejauh mana letupan itu sudah mencemarkan Laut Mediterranean dan mencari cara paling selamat untuk membersihkan perairan berkenaan.

"Dalam sekelip mata, Beirut ditutupi lapisan demi lapisan serpihan. Kami menilai setiap jenis serpihan, (sama ada) batu, besi, kaca, sisa berbahaya, sisa perubatan dan elektronik juga kami tangani.

"Kami perlu kenal pasti mana satu yang bahaya dan mana yang tidak, apa yang boleh dikitar semula dan apa yang tidak.

"Dan jika ia tidak boleh dikitar semula, di manakah tempat yang selamat untuk dibuang? Lebanon pula sememangnya menghadapi krisis pengurusan sisa pepejal sebelum letupan itu lagi," katanya.

Selain sampah dan sisa di darat, Das berkata, tahap pencemaran dan kesan buruk ke atas persekitaran Laut Mediterranean tidak diketahui.

Menurutnya, skala operasi kini berada pada peringkat yang mana kerja belum boleh dimulakan berikutan zon yang musnah masih berbahaya untuk dimasuki.

"Kami tahu ada sisa toksik di luar sana dan ada banyak plastik. Kami bekerjasama rapat dengan pakar dari Kesatuan Eropah yang arif mengenai sisa beracun," katanya.

Das berkata, agensi itu memerlukan sumbangan sekitar AS$3 juta (RM12 juta) bagi tujuan berkenaan, manakala keputusan awal daripada penilaian pertama pihaknya akan diperoleh seminggu lagi.

Letupan berkenaan mengorbankan 170 mangsa dan mencederakan 6,500 orang lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 12:29 PM