GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Johannesburg: Afrika Selatan pada Rabu mengumumkan akan melonggarkan sekatan perjalanan antarabangsa mulai 1 Oktober berikutan penurunan kes Covid-19 di negara yang paling terjejas di benua itu, lapor Agensi Anadolu.

"Kami secara beransur-ansur dan berhati-hati akan melonggarkan sekatan perjalanan antarabangsa, membolehkan perjalanan masuk dan keluar ke Afrika Selatan untuk perniagaan, percutian dan perjalanan lain mulai 1 Oktober 2020," kata Presiden Cyril Ramaphosa dalam ucapannya.

Afrika Selatan melarang perjalanan antarabangsa pada akhir Mac sebagai langkah membendung penyebaran COVID-19.

"Perjalanan masuk dan keluar dari negara-negara tertentu yang memiliki kadar jangkitan tinggi mungkin dihadkan. Senarai negara akan dikeluarkan berdasarkan data saintifik terkini," kata Ramaphosa.

Menurutnya, semasa ketibaan, pelancong perlu menunjukkan keputusan ujian Covid-19 negatif yang tidak melebihi 72 jam daripada waktu berlepas.

"Sekiranya pelancong tidak melakukan ujian Covid-19 sebelum berlepas, mereka akan diminta menjalankan kuarantin wajib dengan kos ditanggung sendiri," kata pemimpin Afrika Selatan itu.

Ramaphosa turut berkata, semua pelancong akan disaring semasa ketibaan, dan mereka yang menunjukkan gejala diminta menjalani kuarantin sehingga ujian Covid-19 ulangan dilakukan.

Afrika Selatan mempunyai jumlah kes Covid-19 disahkan paling tinggi di benua ini dan menjadi negara kelapan paling terjejas di dunia dengan lebih 15,700 kematian dan lebih 653,000 jangkitan.

Negara itu juga sudah mengubah waktu perintah berkurung, bermula tengah malam dan berakhir 4 pagi. Sebelum ini, perintah berkurung bermula 10 malam.

Penjualan alkohol di kedai runcit untuk penggunaan di rumah kini dibenarkan dari Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 5 petang.

Alkohol kini dibenarkan untuk kegunaan di tempat berlesen sahaja dan perlu mematuhi perintah berkurung yang ketat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 12:46 PM