GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

London: Penduduk England yang mengingkari arahan pengasingan diri bagi mengekang penularan Covid-19 bakal didenda sehingga £10,000 (RM53,145) di bawah peraturan baharu lebih tegas yang diumumkan semalam.

Perdana Menteri, Boris Johnson berkata, Britain kini berdepan gelombang kedua serangan virus itu dan mengumumkan perintah larangan baharu terhadap jutaan penduduknya di barat laut, utara, dan tengah England.

"Mulai 28 September ini, mereka yang disahkan positif Covid-19 atau terbabit dalam pengesanan kontak oleh Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), diwajibkan menjalani pengasingan diri.

"Kaedah terbaik bagi melawan virus ini ialah dengan semua orang mematuhi peraturan dan melakukan pengasingan diri jika berisiko menyebarkan virus.

"Jangan pandang remeh kerana di bawah peraturan baharu ini anda diwajibkan melakukan pengasingan diri jika positif Covid-19 atau diarah berbuat demikian oleh NHS," katanya dalam satu kenyataan.

Buat masa sekarang, mereka yang ada simptom atau disahkan positif virus itu diminta melakukan pengasingan diri 10 hari dan 14 hari bagi mereka yang tinggal bersama individu mempunyai simptom atau disahkan positif.

Denda bermula dari £1,000 (RMRM5,314) bagi kesalahan melanggar perintah kuarantin selepas ke luar negara, sehingga £10,000 (RM53,145) bagi kesalahan berulang dan pelanggaran peraturan serius.

Antara lain termasuk tindakan terhadap majikan yang mengugut mahu membuang pekerja yang menjalani kuarantin.

Sebagai insentif mendorong orang ramai mematuhi peraturan, golongan berpendapatan rendah boleh menuntut bayaran tambahan £500 (RM2,657) jika mereka tidak dapat bekerja dari rumah ketika pengasingan diri.

Kata Johnson, walaupun orang ramai secara umumnya melakukan yang terbaik bagi mematuhi peraturan baharu, beliau tidak mahu melihat ada yang merasakan tidak mampu melakukannya dari segi kewangan.

Hampir 42,000 mangsa positif Covid-19 di Britain maut iaitu kadar kematian terburuk di Eropah.

Selepas kes berkurangan pada musim panas, kini jangkitan semakin memuncak dan kelmarin, Johnson mengeluarkan amaran mengenai gelombang kedua

"Kita melihatnya di Perancis, Sepanyol dan serata Eropah, saya yakin kita tidak dapat mengelak gelombang kedua di Britain," katanya.

Peraturan baharu melarang perhimpunan lebih enam orang dari isi rumah berbeza mula berkuat kuasa minggu ini dan perintah lain pada peringkat tempatan turut diperkenalkan.

Johnson juga mengakui keengganannya mengisytiharkan perintah berkurung sekali lagi di seluruh negara berikutan sekatan sedia ada dikritik hebat anggota parti Konservatif pimpinannya.

Semalam, di London, kumpulan penunjuk perasaan antivaksin dan antiperintah berkurung bertembung dengan polis di Medan Trafalgar, menyebabkan 32 orang ditahan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 7:01 AM