FOTO fail menunjukkan lombong arang batu di Datong, Shanxi, China. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan lombong arang batu di Datong, Shanxi, China. FOTO AFP
Agensi

Beijing: Seramai 16 pekerja lombong maut, manakala seorang kritikal selepas terperangkap dalam terowong bawah tanah di sebuah lombong arang batu di China akibat kebocoran gas karbon monoksida.

Stesen televisyen CCTV melaporkan, penghantar (conveyer) di dalam lombong di luar Chongqing itu terbakar pada awal pagi sehingga meningkatkan penghasilan gas karbon monoksida.

Pegawai perubatan kini berjuang untuk menyelamatkan nyawa mangsa yang masih hidup, lapor CCTV.

Punca kemalangan masih dalam siasatan, kata pemerintah daerah Qijiang di platform media sosial Weibo.

Lebih daripada 100 petugas perubatan dan pasukan penyelamat berada di lokasi berkenaan bagi membantu kerja mencari dan menyelamat.

Ketika ini, pihak berkuasa masih menyiasat punca kejadian.

Lombong berkenaan dimiliki oleh firma tenaga kerajaan, Chongqing Energy.

Insiden di lombong adalah sesuatu yang biasa di China, negara di mana tahap keselamatannya rendah dan peraturan jarang dikuatkuasakan.

Disember tahun lalu, 14 pelombong mati dalam letupan gas dan arang batu di sebuah lombong di wilayah Guizhou, barat daya negara itu

Pada Disember 2018, tujuh pelombong terbunuh di Chongqing dalam kejadian kemalangan di lombong.

Pada Oktober tahun sama, 21 pelombong di timur wilayah Shandong maut akibat terperangkap selepas bongkah batu jatuh dan menutup laluan masuk ke dalam terowong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 4:09 PM