MAGAWA dianugerahkan pingat emas keberanian tertinggi untuk haiwan. FOTO AFP/PDSA
MAGAWA dianugerahkan pingat emas keberanian tertinggi untuk haiwan. FOTO AFP/PDSA
AFP

London: Seekor tikus pengesan bernama Magawa dianugerahkan pingat emas keberanian tertinggi untuk haiwan kerana jasanya mengesan periuk api di Kemboja.

Ia adalah pingat setaraf penghormatan kepada orang awam tertinggi United Kingdom (UK).

Pingat itu dianugerahkan kepada tikus gergasi baka Afrika berusia lima tahun berkenaan oleh badan amal Britain, People's Dispensary for Sick Animals (PDSA).

PDSA adalah badan amal untuk membantu haiwan yang cedera dan sakit milik golongan miskin.

Mengikut rekod, Magawa dilatih oleh organisasi Belanda, APOPO yang berpangkalan di Tanzania.

Organisasi berkenaan melatih haiwan untuk mengesan periuk api dan menunjukkan lokasinya kepada manusia.

Sepanjang 'berkhidmat' di Kemboja, Magawa berjaya mengesan 39 periuk api dan 28 peledak yang tidak meletup.

MAGAWA berjaya mengesan 39 periuk api dan 28 peledak yang tidak meletup sepanjang ‘berkhidmat’ di Kemboja. FOTO AFP/PDSA
MAGAWA berjaya mengesan 39 periuk api dan 28 peledak yang tidak meletup sepanjang ‘berkhidmat’ di Kemboja. FOTO AFP/PDSA

Ia sekali gus membantu pihak berkuasa membersihkan kawasan seluas 141,000 meter persegi atau hampir 35 ekar (kira-kira 14 hektar).

"Ini menjadikan Magawa HeroRat (HeroTikus) paling berjaya serta APOPO sebagai organisasi yang melatihnya. Ia benar-benar unik dan luar biasa.

"Pingat Emas PDSA adalah setaraf anugerah George Cross Britain," kata Ketua Pengarah PDSA, Jan McLoughlin.

Menurutnya, keberanian Magawa secara langsung menyelamatkan kehidupan ramai individu yang mungkin terkena jerangkap samar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 10:00 AM