SEEKOR gorila jantan diberi nama Malabo mencederakan seorang kakitangan Zoo Madrid. FOTO Madrid Zoo
SEEKOR gorila jantan diberi nama Malabo mencederakan seorang kakitangan Zoo Madrid. FOTO Madrid Zoo
Agensi

Madrid: Seorang penjaga haiwan di Zoo Madrid parah selepas diserang seekor gorila jantan.

Mirror.co.uk melaporkan wanita berusia 46 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan di kepala dan dada serta patah di beberapa bahagian termasuk dua tangan.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan stabil di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Klinik Madrid.

Polis Perbandaran Madrid mengambil alih siasatan kerana diklasifikasikan sebagai kemalangan di tempat kerja.

Satu kenyataan yang dikeluarkan zoo itu berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi ketika penjaga zoo yang mempunyai pengalaman 19 tahun memasuki fasiliti dalaman untuk rutin biasa seperti memberi sarapan pagi, membersih dan menyiapkan fasiliti.

"Selepas memasuki kawasan selamat dengan tiga lapisan pintu, pengasuh itu menemui Malabo, seekor gorila jantan berusia 29 tahun di kawasan itu.

"Sebab mengapa haiwan itu dapat memasuki kawasan ini disiasat secara dalaman. Namun, siasatan kehakiman akan menentukan perincian yang tepat," katanya.

MANGSA dilaporkan stabil di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Klinik Madrid. FOTO EmergenciasMad/Twitter
MANGSA dilaporkan stabil di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Klinik Madrid. FOTO EmergenciasMad/Twitter

Kenyataan itu mengatakan kawasan pedalaman yang dimaksudkan itu tidak mempunyai jalan keluar ke kawasan awam.

Zoo itu mengatakan protokol kecemasan segera diaktifkan dan kejadian dimaklumkan kepada pasukan kecemasan dan polis perbandaran.

"Pekerja zoo berjaya mengeluarkan haiwan itu dan pasukan veterinar kemudian membius Malabo dengan anak panah penenang sebelum dipindahkan ke bilik tidurnya," kata kenyataan itu.

Malabo dibesarkan oleh pengasuhnya sejak lahir dan amat rapat dengannya.

"Ruang pameran gorila akan tetap ditutup sehingga Malabo dan haiwan lain tenang," kata zoo itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 9:51 AM