GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

Tegucigalpa: Seorang wartawan Honduras yang sering mengkritik kerajaan terbunuh akibat ditembak dua individu bermotosikal.

Kejadian itu menjadikan seramai 85 wartawan yang terbunuh di negara itu dalam tempoh dua dekad.

Ketika kejadian, Luis Almendares, 35, sedang mengunjungi sebuah kedai di Comayagua, kira-kira 60 kilometer arah utara dari bandar Tegucigalpa, sebelum dia ditembak beberapa kali pada Ahad.

"Dia didatangi dua individu yang menaiki motosikal dan menembaknya berulang kali," kata polis dalam kenyataan.

Wartawan itu kemudian dihantar ke hospital dengan kecederaan akibat tembakan, sebelum disahkan meninggal dunia awal pagi Isnin, kata Pengarah Jawatankuasa Ekspresi Bebas, Amada Ponce.

Almendares, pekerja sambilan yang menggunakan media sosial untuk mengkritik pemerintahan Presiden Juan Orlando Hernandez sudah beberapa kali membuat laporan kepada polis dan Sistem Perlindungan Negara selepas menerima ugutan bunuh, kata kumpulan hak asasi itu.

Kerajaan menubuhkan Sistem Perlindungan Negara pada 2015, susulan kebimbangan dinyatakan Organisasi Negara-negara Amerika dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung pembunuhan yang tinggi membabitkan peguam, pembela hak dan wartawan.

Presiden Persatuan Wartawan Honduras, Dagoberto Rodriguez, mengumumkan kumpulannya menarik diri dari sistem perlindungan itu susulan kematian Almendares.

"Kerajaan membiarkan sistem ini tidak berfungsi dengan tidak menyalurkan bantuan logistik atau kewangan," kata Rodriguez.

Beliau turut menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membunuh wartawan dan anggota media.

Pada Jun lalu, seorang wartawan dan jurukamera ditembak mati di Pelabuhan La Ceiba, Caribbean.

Dua ahli kumpulan yang disyaki terbabit dengan kejadian itu ditahan.

Bagaimanapun, Ponce memberitahu AFP lebih 90 peratus daripada 85 pembunuh wartawan di Honduras sejak 2001 tidak dihukum.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 11:19 AM