KAWASAN perkuburan pesakit Covid-19 di beberapa negara. FOTO AFP.
KAWASAN perkuburan pesakit Covid-19 di beberapa negara. FOTO AFP.
BERNAMA

New York: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) Antonio Guterres menyifatkan jumlah kematian global akibat Covid-19 yang kini mencecah sejuta orang, satu 'tahap amat menyakitkan' lapor agensi berita Sputnik.

Menurut Johns Hopkins University, jumlah kematian Covid-19 di seluruh dunia mencecah sejuta, dengan lebih 33 juta kes disahkan dan lebih 23 juta dalam pemulihan.

"Dunia kita sudah berada pada tahap paling buruk, kehilangan sejuta nyawa akibat pandemik Covid-19.

"Jumlah yang langsung tidak pernah terlintas di fikiran. Namun, kita tidak boleh lupakan setiap kehidupan individu. Mereka adalah ayah dan ibu, isteri dan suami, ahli keluarga, sahabat dan rakan sekerja.

"Rasa sakit itu berlipat kali ganda disebabkan penyakit yang tidak dapat dikawal ini," kata Guterres dalam satu kenyataan.

"Dan belum ada pengakhiran untuk penyebaran virus ini, kehilangan pekerjaan, gangguan pendidikan, pergolakan terhadap hidup kita. Kita mampu harungi cabaran ini. Tetapi kita mesti belajar daripada kesilapan.

"Kepimpinan yang bertanggungjawab penting. Ilmu penting. Kerjasama juga perlu dan maklumat yang salah boleh membunuh, " katanya.

Guterres menyeru agar sentiasa menjaga jarak fizikal, memakai pelitup muka dan mencuci tangan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 1:05 PM