GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

New Delhi: Seorang pembunuh upahan profesional yang sudah membunuh 20 orang di India dilaporkan menawarkan rasuah 50 juta rupee (RM2.8 juta) kepada polis supaya dibebaskan.

Portal Gulf News melaporkan, Avinash Srivastava atau dikenali sebagai Amit ditahan di sebuah hotel di bandar Raxaul ketika cuba menyelinap keluar ke sempadan Nepal.

Ketika ditahan, Amit sempat menawarkan wang kepada polis dan memberi jaminan hanya memerlukan dua jam untuk menyediakannya.

"Tolong lepaskan saya. Saya akan berikan 50 juta rupee," katanya seperti dipetik portal berkenaan.

Bagaimanapun, pegawai polis daerah Patna, Upendra Sharma berkata, pihaknya jelas menolak tawaran itu dan membawa suspek untuk disoal siasat.

"Dalam soal siasat itu, Amit mengaku melakukan banyak kes pembunuhan," katanya.

Sejak 2003, dia mengaku sudah melakukan 20 pembunuhan tanpa menunjukkan sedikit pun kekesalan.

Suspek menerima pendidikan daripada Universiti Jamia Millia Islamia dalam jurusan komputer di New Delhi juga dikenali sebagai pakar teknologi maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 6:15 AM