SPESIMEN lengkap T-Rex dijual pada harga AS$31.8 juta (kira-kira RM132 juta). FOTO Christie
SPESIMEN lengkap T-Rex dijual pada harga AS$31.8 juta (kira-kira RM132 juta). FOTO Christie
AFP

New York: Satu daripada spesimen lengkap dinosaur jenis tyrannosaurus atau T-Rex dijual pada harga AS$31.8 juta (kira-kira RM132 juta) dalam acara lelongan dianjurkan syarikat lelong terkemuka, Christie.

Jumlah itu menjadikannya sebagai rangka haiwan purba termahal yang dijual kepada umum.

Pada sesi lelongan itu, rangka T-Rex dibuka pada harga permulaan antara AS$6 juta (kira-kira RM24 juta) hingga AS$8 juta (kira-kira RM33 juta).

Ini memecah rekod sebelumnya iaitu spesimen bernama Sue yang dijual pada harga AS$8.4 juta (kira-kira RM34 juta) pada Oktober 1997 oleh syarikat lelong terkenal, Sotheby's di Muzium Sejarah Alam Field di Chicago.

Sehingga kini hanya kira-kira 50 fosil tyrannosaurus yang ditemui sejak kaji gali pada 1902.

Bidaan spesimen T-Rex itu hanya mengambil masa dua minit untuk mencecah AS$9 juta ( RM37 juta).

Namun, sebaik tukul bidaan diketuk, nilai akhirnya mencecah AS$27.5 juta (kira-kira RM114 juta), tidak termasuk kos tambahan dan komisen.

Bidaan dijalankan di New York, namun ada pengumpul barangan purba dari Hong Kong dan London yang turut mengambil bahagian menerusi panggilan telefon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 7:45 AM