ANGGOTA tentera Vietnam melakukan pencarian di kawasan berek yang ditimbus tanah runtuh. FOTO AFP
ANGGOTA tentera Vietnam melakukan pencarian di kawasan berek yang ditimbus tanah runtuh. FOTO AFP
AFP

Hanoi: Lima anggota tentera disahkan maut dan 18 yang lain masih hilang selepas kejadian tanah runtuh melanda tengah Vietnam hari ini, akibat banjir terburuk dalam tempoh beberapa tahun.

Satu gerakan mencari besar-besaran dilancarkan bagi mengesan mangsa yang masih hilang.

Hujan lebat melanda rantau itu selama lebih seminggu, menyebabkan 64 nyawa terkorban akibat banjir dan tanah runtuh, lapor pihak berkuasa pengurusan bencana Vietnam, disusuli kebimbangan bahawa paras air akan terus meningkat.

Menurut laman web rasmi kerajaan, timbunan batu menimbus berek tentera di wilayah Quang Tri, dengan 22 anggota dipercayai tertanam di bawah runtuhan lumpur tebal.

"Sejak jam 2 pagi, terdapat empat hingga lima tanah runtuh, meletup bagaikan bom dan ia menyebabkan seolah-olah keseluruhan gunung akan runtuh," kata pegawai tempatan, Ha Ngoc Duong, seperti dilaporkan laman berita VnExpress.

Media negeri menambah, lima mayat berjaya ditemui setakat ini.

Tragedi itu berlaku beberapa hari selepas 13 anggota penyelamat ditemui mati, apabila gagal menyelamatkan pekerja loji tenaga yang dilanda tanah runtuh.

Mayat dua pekerja loji berkenaan berjaya ditemui, namun 15 mangsa lain masih hilang.

Paras air di Quang Tei sudah mencapai paras kedua tinggi dalam tempoh dua dekad, lapor media negeri lagi.

Pihak berkuasa pengurusan bencana turut menaikkan amaran banjir ke tahap kedua tertinggi hari ini, sambil meminta orang ramai berjaga-jaga untuk kemungkinan banjir dan tanah runtuh yang lebih kerap.

Vietnam terdedah kepada bencana alam dan sering dilanda puluhan ribut setiap tahun, yang membawa kepada insiden tanah runtuh serta banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 4:54 PM