AFP

Paris: Satu kajian menunjukkan bahawa bayi yang menyusu botol mungkin termakan jutaan cebisan mikroplastik setiap hari.

Asa bukti menunjukkan bahawa manusia termakan partikel kecil plastik daripada makanan.

Bagaimanapun, masih tidak dapat diketahui kesannya kepada kesihatan.

Berdasarkan kajian berkenaan, penyelidik di Ireland melihat kepada kadar penguraian mikroplastik dalam 10 jenis botol susu atau bahan diperbuat daripada polypropylene seperti bekas makanan.

Mereka mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia berhubung pensterilan dan penyediaan susu formula.

Dalam tempoh kajian 21 hari, pasukan itu mendapati bahawa botol berkenaan menguraikan antara 1.3 dan

16.2 juta partikel mikro plastik untuk setiap liter.

Berdasarkan dapatan ini, mereka merumuskan potensi bayi yang menyusu botol termakan mikroplastik.

Mereka menganggarkan bahawa secara purata seorang bayi yang menyusu botol termakan 1.6 juta partikel mikro plastik setiap hari, dalam usia 12 bulan pertama.

Hasil kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Food itu juga mendapati bahawa pensterilan dan pendedahan botol kepada air dengan suhu tinggi akan mudah menyebabkan mikroplastik terurai.

Bagaimanapun, penyelidik memberitahu AFP bahawa kajian itu bukan bertujuan untuk menyebabkan ibu bapa bimbang berhubung risiko botol mikroplastik

"Kita sudah menyatakan secara jelas bahawa kita tidak mengetahui risiko kesihatan apabila bayi termakan mikroplastik ini.

"Ini adalah antara persoalan yang masih kita kaji," kata pasukan dari Trinity College Dublin itu.

Dalam pada itu, penyelidik juga mencadangkan bahawa bayi di negara maju adalah paling banyak termakan mikroplastik.

Ia memandangkan kadar menyusu botol yang tinggi di negara lebih kaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 9:30 AM