THAILAND membuka semula pintu sempadan antarabangsanya dengan menyambut ketibaan pelancong China dari Shanghai. FOTO AFP
THAILAND membuka semula pintu sempadan antarabangsanya dengan menyambut ketibaan pelancong China dari Shanghai. FOTO AFP
Agensi

Bangkok: Thailand menyambut kumpulan pelancong pertama selepas tujuh bulan menutup pintu sempadannya akibat penularan pandemik Covid-19.

Langkah itu adalah satu eksperimen sebelum negara itu membuka kembali sempadannya.

Seramai 39 pelancong China terbang dari Shanghai dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, di sini, semalam.

Mereka disambut oleh kakitangan lapangan terbang yang memakai peralatan perlindungan.

Pelancong kemudian menjalani pemeriksaan kesihatan dan barangan mereka dinyah kuman.

Mereka kemudian memakai peralatan perlindungan dan dibawa ke pusat kuarantin untuk tinggal di situ, selama dua minggu.

"Ini supaya warga asing yakin dengan langkah keselamatan kita," kata Menteri Kesihatan Anutin Charnvirakul dalam satu kenyataan.

Katanya, dia mengarahkan pegawai terbabit memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelancong berkenaan.

"Wabak ini membuat ekonomi negara Asia Tenggara merosot teruk dengan lapan juta orang dijangka kehilangan pekerjaan pada akhir tahun ini," katanya.

Sebahagian besar kerugian itu membabitkan sektor pelancongan terutama Thailand yang merekodkan 40 juta kedatangan pelancong asing pada 2019.

Pelancong diberikan visa pelancongan khas dan dibenarkan tinggal di negara itu sehingga sembilan bulan.

Bagaimanapun, angka pelancong yang tiba semalam, jauh lebih kecil daripada 150 orang yang diberitahu oleh pihak berkuasa bulan lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 5:57 PM