Gambar hiasan - AFP
Gambar hiasan - AFP
AFP

Geneva: Beberapa minggu lagi, perjanjian antarabangsa bagi mengharamkan senjata nuklear dijangka dikuatkuasakan.

Perjanjian meliputi larangan terhadap penggunaan, pembangunan, penghasilan, ujian, penempatan, penyimpanan dan ancaman menggunakan senjata nuklear dipersetujui 122 negara ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Julai 2017.

Sehingga kini, 84 negara sudah menandatangani perjanjian itu yang akan berkuat kuasa dalam tempoh 90 hari selepas 50 negara terbabit meratifikasi dokumen berkenaan.

Ulang tahun ke-75 peristiwa serangan bom nuklear ke atas Nagasaki dan Hiroshima Ogos lalu, menyaksikan banyak negara meratifikasi perjanjian itu.

Ia termasuk Nigeria, Malaysia, Ireland, Malta dan terbaru, Tuvalu pada 12 Oktober lalu, menjadikan jumlahnya mencecah 47 negara.

Negara ke-48 dijangka meratifikasi dokumen itu dalam tempoh terdekat dengan disusuli beberapa negara lain.

Pengarah Eksekutif Kempen Antarabangsa Menghapuskan Senjata Nuklear (ICAN) Beatrice Fihn berkata, penguatkuasaan pengharaman senjata nuklear itu hampir menjadi kenyataan.

"Ia suatu perkara amat penting. Ia berkemungkinan akan menjadi kenyataan dalam tempoh terdekat. Kami berasakan masanya betul-betul tidak lama lagi.

"Negara terbabit berjaya melakukannya walaupun berdepan ancaman pandemik serta tekanan besar daripada negara yang memiliki senjata nuklear, dan ia sangat mengagumkan.

"Ia akan betul-betul menjadi satu pencapaian bersejarah. Perjanjian itu bakal melengkapi larangan terhadap senjata pemusnah besar-besaran, termasuklah senjata biologi dan kimia," katanya.

Bagaimanapun, beberapa negara yang memiliki senjata nuklear termasuk Amerika Syarikat (AS), Britain, Perancis, China dan Russia tidak menandatangani perjanjian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 10:57 AM