PEKERJA penghantaran makanan di jalan di Seville, Sepanyol yang lengang susulan perintah berkurung. FOTO EPA
PEKERJA penghantaran makanan di jalan di Seville, Sepanyol yang lengang susulan perintah berkurung. FOTO EPA
AFP

Madrid: Sepanyol sekali lagi mengumumkan darurat pada Ahad di seluruh negara itu kecuali di Canary Islands untuk mengekang penularan gelombang kedua Covid-19.

Perintah darurat kali kedua itu akan berakhir pada awal Mei, kata Perdana Menteri Pedro Sanchez, menerusi ucapan di televisyen.

"Kita menghadapi situasi yang amat ekstrem," tegasnya.

Langkah itu dipersetujui selepas Kabinet negara itu bermesyuarat selama dua jam setengah.

Menerusi perintah darurat, pihak berkuasa akan melaksanakan perintah berkurung akan berkuat kuasa antara 11 malam dan 6 pagi.

Kerajaan juga berhasrat untuk melanjutkan perintah darurat yang pada asalnya dijadualkan untuk tempoh 15 hari kepada enam bulan.

Bagaimanapun, Sanchez tidak menolak kemungkinan perintah berkenaan akan ditarik balik, jika keadaan mengizinkan untuk berbuat demikian.

"Perintah darurat adalah langkah terbaik untuk mengurangkan kadar jangkitan," katanya.

Pada Rabu, Sepanyol menjadi negara Eropah pertama yang merekodkan lebih sejuta kes jangkitan dengan lebih 35,000 kematian.

Dalam pada itu, perintah darurat berkenaan akan membolehkan setiap wilayah mempunyai kuasa untuk menyekat pergerakan masuk dan keluar ke kawasan masing-masing.

Pihak berkuasa wilayah juga diberikan kuasa untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan perintah berkurung berdasarkan situasi setempat.

Sepanyol sebelum ini dikenakan lockdown (sekatan pergerakan) ketika perintah darurat kali pertama antara 15 Mac hingga 21 Jun.

Ia adalah antara kawalan pergerakan paling ketat bagi negara di Eropah.

Menurut Sanchez, beliau akan mencari apa jua jalan untuk mengelak lockdown kali kedua.

"Marilah kita duduk di rumah. Lebih lama kita duduk di rumah, kita dan ramai lagi akan terlindung (daripada jangkitan Covid-19)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 11:05 AM