PIHAK berkuasa melakukan siasatan di lokasi letupan yang mengorbankan tujuh pelajar. FOTO AFP
PIHAK berkuasa melakukan siasatan di lokasi letupan yang mengorbankan tujuh pelajar. FOTO AFP
AFP

Peshawar: Sekurang-kurangnya tujuh individu terbunuh, manakala puluhan lagi cedera dalam serangan bom di institusi pengajian agama di barat laut Pakistan, hari ini.

Pegawai kanan polis Wagar Azim berkata, lebih 60 orang sedang belajar ketika bom meletup dalam kawasan sekolah di Dir di sini, kira-kira 170 kilometer dari barat Islamabad.

"Letupan berlaku ketika kelas al-Quran. Seseorang dipercayai membawa masuk sebuah beg," kata Azim kepada AFP.

Menurutnya, individu yang membawa beg itu ke dalam dewan kuliah, kemudian meninggalkannya sebelum letupan berlaku.

ANGGOTA keselamatan berkawal di luar kawasan sekolah agama yang meletup hari ini. FOTO AFP.
ANGGOTA keselamatan berkawal di luar kawasan sekolah agama yang meletup hari ini. FOTO AFP.

Mohammad Ali Gandapur, seorang lagi polis kanan memaklumkan, sekurang-kurangnya tujuh orang maut.

Angka kematian itu turut disahkan Mohammad Asim Khan, jurucakap di hospital tempatan yang memberitahu 70 orang cedera juga dibawa ke fasiliti itu.

"Kebanyakan mangsa yang maut disebabkan terkena serpihan bom dan ada antaranya terbakar," katanya.

Mereka yang maut adalah lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun, manakala guru dan kanak-kanak lelaki semuda tujuh tahun antara yang cedera.

Setakat ini, belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 3:59 PM