Patung wanita dengan bendera Lebanon dihasilkan daripada sisa letupan. FOTO Ihsan Hayat Nazer
Patung wanita dengan bendera Lebanon dihasilkan daripada sisa letupan. FOTO Ihsan Hayat Nazer
Agensi

Beirut: Sedih dan trauma dengan tragedi letupan dekat Pelabuhan Beirut tiga bulan lalu, seorang artis wanita meluahkan rasa itu dalam karya hebat yang dihasil menggunakan sisa tragedi.

Hayat Nazer, 33, membuat patung wanita memegang bendera Lubnan dengan rambut dan pakaian diterbangkan angin daripada besi, kaca pecah dan barangan pemberian penduduk.

Menurutnya, dia dan seluruh rakyat Lubnan berkongsi duka sama, malah mereka turut bersatu ketika membersihkan sisa letupan yang memusnahkan kegemilangan bandar ini.

Daripada usaha pembersihan itu timbulnya idea untuk menghasilkan patung yang memberi inspirasi kepada penduduk untuk bersatu dan bangkit semula, kata Nazer kepada CNN.

"Apabila saya pun rasa begitu (sedih dan trauma) saya cuma mahu membantu (orang lain) pulih menerusi seni dan ini menjadi cara saya menerima kenyataan serta cuba bangkit bersama penduduk lain," katanya.

Selama berminggu Nazer mengutip sisa besi dan kaca pecah di sekitar bandar dan mendekati penduduk yang mahu menyumbang barangan mereka untuk penghasilan karya itu.

"Saya ke rumah penduduk yang terjejas dengan letupan dan beritahu mereka, 'saya mahu awak serahkan apa saja yang boleh saya masukkan dalam sebahagian karya saya'.

"Saya terkejut apabila penduduk memberikan barangan berharga termasuk barang kenangan zaman kanak-kanak, milik nenek moyang yang meninggal ketika perang dan barang yang mereka simpan untuk anak mereka.

"Ia menerbitkan pelbagai emosi dalam karya ini," katanya yang turut meletakkan jam dengan detik 6.08 iaitu masa letupan berlaku.

Nazer memberitahu patungnya belum ada nama khusus dan dia juga bimbang sekiranya karya itu dimusnahkan pihak berkuasa yang tidak terbuka menerima kritikan seperti yang berlaku ke atas karyanya yang lain.

Selain patung dan arca, artis itu melukis mural dan karya lain inspirasi daripada isu politik dan sosial Lebanon.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 6:00 AM