Foto hiasan
Foto hiasan
AFP

Dakar: Lebih 140 orang dikhuatiri lemas apabila sebuah bot yang membawa kira-kira 200 pendatang dilaporkan karam di Senegal pada minggu lalu.

Pejabat Migrasi Antarabangsa (IOM) dalam satu kenyataan turut memaklumkan, ia adalah insiden bot karam yang terburuk pernah direkodkan pada tahun ini.

Sebelum ini, pihak berkuasa Senegal memaklumkan, sekurang-kurang 10 mangsa maut, manakala 60 lagi berjaya diselamatkan.

"Komuniti setempat memaklumkan kepada kami bahawa ada kira-kira 200 individu berada di atas kapal itu, yang bermakna sekurang-kurang 140 orang terkorban," kata jurucakap IOM di Dakar, Aissatou Sy.

Agensi itu juga menzahirkan perasaan sedih atas tragedi terbabit yang menyusuli insiden empat bot karam di Laut Mediterranean, minggu lalu dan satu lagi kejadian di selat berkenaan.

"Kami menggesa kerajaan, rakan kongsi dan masyarakat antarabangsa supaya bersatu bagi mematahkan jaringan penyeludupan serta pemerdagangan manusia yang mengambil kesempatan terhadap golongan belia terdesak," kata Ketua IOM di Senegal, Bakary Doumbia, dalam kenyataan itu.

Isnin lalu, Senegal memberi amaran mengenai peningkatan jumlah pendatang yang berusaha ke Eropah melalui laluan berbahaya di timur Atlantik - lintasan untuk ke Kepulauan Canary di Sepanyol.

Kepulauan itu terletak lebih 100 kilometer dari lokasi paling hampir di pantai Afrika, manakala pendatang lazimnya bersesak di dalam bot kayu tradisional yang tidak diselenggara dengan baik.

Dalam kejadian terbaru itu, IOM berkata, bot terbabit berlepas dari Mbour, Senegal, Sabtu lalu sebelum terbakar secara tiba-tiba beberapa jam kemudian.

Menurut agensi itu lagi, bot berkenaan kemudiannya terbalik berhampiran Saint-Louis di pantai barat laut negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 11:32 AM