Orang ramai membantu pihak berkuasa mencari mangsa runtuhan bangunan dalam kejadian gempa bumi di Turki. Foto Agensi
Orang ramai membantu pihak berkuasa mencari mangsa runtuhan bangunan dalam kejadian gempa bumi di Turki. Foto Agensi
Agensi

Istanbul: Sekurang-kurangnya 22 terbunuh di Turki dan Greece, manakala beberapa bangunan runtuh susulan gempa bumi kuat di Laut Aegean dekat sini, petang semalam.

CNN melaporkan pihak berkuasa negara itu menyifatkan insiden terbabit sebagai tsunami kecil di kawasan terbabit.

Jurucakap rasmi mengesahkan 20 individu terbunuh di pesisir barat Turki, manakala dua lagi mangsa masing-masing kanak-kanak lelaki dan perempuan meninggal di Pulau Samos, Greece akibat dihempap runtuhan bangunan.

Datuk Bandar Izmir Tunc Soyer memberitahu CNN kira-kira 20 bangunan musnah kesan gempa bumi itu di bandar itu.

Agensi Bencana Negara pula melaporkan seramai 786 individu cedera di Turki dengan puluhan daripadanya dibantu pasukan penyelamat yang menggunakan helikopter dan jentera pengorek untuk mengesan mangsa.

Laporan sama turut memaklumkan sebanyak 196 gempa susulan direkodkan dengan 23 daripadanya berukuran melebihi 4 pada skala Richter.

Menteri Alam Sekitar dan Urbanisasi Turki Murat Kurum berkata, operasi mencari dan menyelamat diteruskan di 17 bangunan dengan empat daripada runtuh akibat gempa bumi berkenaan.

Dalam pada itu, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan memaklumkan lima daripada mangsa yang cedera sedang diuruskan, manakala lapan lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Menerusi ciapannya di Twitter, Erdogan turut menzahirkan simpati terhadap apa yang berlaku di Greece.

"Dua negara kini menunjukkan solidariti dalam waktu yang genting adalah lebih daripada segalanya.

"Turki sedia membantu Greece untuk memulihkan keadaan," katanya.

Menurut Erdogan, kedua-dua negara juga sudah bersetuju menghantar bantuan kecemasan kepada satu sama lain susulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 11:18 AM