KUBUR besar yang ditemui di wilayah Tarhuna, barat Libya. FOTO AFP
KUBUR besar yang ditemui di wilayah Tarhuna, barat Libya. FOTO AFP
BERNAMA

Washington: Amerika Syarikat (AS) semalam mengenakan sekatan terhadap Mohamed al-Kani dan kumpulan militan Kaniyat di Libya selepas didakwa membunuh orang awam yang mayat mereka dijumpai ditanam di sebuah kubur besar di Tarhuna, lapor Agensi Anadolu.

Jabatan Perbendaharaan AS menuduh kumpulan pro-Khalifa Haftar melakukan penyeksaan, melenyapkan dan mengusir orang awam di negara dilanda konflik itu.

"Mohamed al-Kani dan militan Kaniyat menyeksa dan membunuh orang awam semasa kempen penindasan kejam di Libya," kata Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin.

Beliau berkata, Washington akan menggunakan cara dan kuasa yang ada untuk menyasarkan pihak yang mencabul hak asasi manusia di Libya dan di seluruh dunia.

Militan Kaniyat berpaling tadah dari Kerajaan Perpaduan (GNA) Libya yang diiktiraf pada April 2019, dengan menyokong Tentera Nasional Libya (LNA).

"Pada Jun lalu, selepas gencatan senjata de facto, pasukan bersekutu GNA masuk semula ke Tarhuna dan menemui sekurang-kurangnya 11 kubur besar orang awam yang sebelum ini menjadi tawanan militan Kaniyat, termasuk wanita, kanak-kanak dan warga tua," kata Mnuchin.

"Keadaan beberapa mayat kelihatan seperti telah diseksa, dibakar atau ditanam hidup-hidup. Militan Kaniyat juga bertanggungjawab terhadap ratusan hukuman mati yang dilakukan di penjara Tarhuna."

Awal bulan ini, pihak berkuasa Libya menemui lima kubur besar di kawasan sama di Tarhuna dan 12 mayat dijumpai selepas kerja menggali dilakukan.

Libya terjerumus ke dalam kancah perang saudara sejak pemimpin Muammar Gaddafi digulingkan pada 2011.

GNA ditubuhkan pada 2015 di bawah perjanjian diterajui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Usaha ke arah penyelesaian politik jangka panjang menemui jalan buntu akibat serangan dilancarkan tentera Haftar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 5:45 PM