POLIS menjalankan siasatan di apartment lokasi seorang lelaki ditemui dikurung ibunya selama 28 tahun. FOTO AFP
POLIS menjalankan siasatan di apartment lokasi seorang lelaki ditemui dikurung ibunya selama 28 tahun. FOTO AFP
AFP

Stockholm: Seorang ibu di Sweden ditahan selepas disyaki mengurung anak lelakinya selama 28 tahun, menjadikannya kekurangan zat dan kehilangan hampir keseluruhan giginya.

Jurucakap polis, Ola Osterling berkata, wanita itu disyaki menghalang kebebasan dan menyebabkan kecederaan badan.

"Lelaki itu telah dikurung 'untuk tempoh yang sangat lama' di apartmen yang terletak di selatan pinggir bandar Haninge," katanya yang enggan memberikan komen mengenai dakwaan akhbar tempatan berkaitan tempoh lelaki itu dikurung selama 28 tahun.

Berdasarkan laporan, wanita berkenaan memberhentikan anaknya dari sekolah ketika berusia 12 tahun dan mengurungnya di apartment berkenaan sejak itu.

Menurut laporan Expressen, seorang saudara keluarga berkenaan menjumpai lelaki yang kini berusia sekitar 41 tahun Ahad lalu selepas ibunya yang berusia 70-an dibawa ke hospital.

Lelaki itu didapati cedera pada bahagian kaki, sukar berjalan, keupayaan bercakap yang lemah selain hampir kehilangan semua giginya.

Osterling bagaimanapun enggan memberi komen mengenai butiran berkenaan dan menyifatkan kecederaan yang dialami lelaki itu tidak mengancam nyawa.

Wanita berkenaan menafikan jenayah yang dilakukan, kata Lembaga Pendakwaan Sweden.

Doktor di hospital yang memaklumkan polis mengenai kejadian berkenaan.

Saudara mereka yang menjumpai lelaki itu berkata, apartmen itu kelihatan seperti tidak dibersihkan selama beberapa tahun.

"Terdapat air kencing, sampah dan habuk. Ia juga berbau busuk," katanya kepada Expressen.

Katanya, dia menanti saat ini selama 20 tahun kerana mengesyaki wanita berkenaan 'terlalu mengawal' anaknya.

"Saya tahu dia (lelaki itu) dikawal sepenuhnya oleh si ibu. Namun, saya tidak menyangka ia sampai ke tahap ini.

"Saya bersyukur dia kini sudah diselamatkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 6:59 PM