RYLEE Rose. FOTO Agensi
RYLEE Rose. FOTO Agensi
Agensi

Sydney: Akibat dipercayai terlampau leka menonton Netflix, pasangan kekasih di Townsville, Australia terlupa mereka meninggalkan seorang kanak-kanak perempuan di dalam kereta.

Akibat perbuatan itu, mangsa yang berusia tiga tahun meninggal dunia kerana lemas selepas terperangkap di dalam kenderaan untuk tempoh yang lama.

News.com.au melaporkan, Laura Black, 37 dan teman lelakinya, Aaron Hill, 29, tidak menyedari mereka tertinggal mangsa, Rylee Rose di dalam kenderaan berkenaan.

Ketika kejadian, cuaca panas mencecah 32 darjah Celsius.

Susulan kejadian, Rylee yang juga anak kepada Laura dikejarkan ke Hospital Universiti Townsville pada petang Jumaat lalu, tetapi mangsa tidak dapat diselamatkan.

Media tempatan melaporkan, sebelum kejadian, Laura dan Hill menghantar kakak kepada Rylee ke sekolah dengan menaiki kereta.

Sebaik pulang ke rumah, pasangan berkenaan terus masuk ke dalam rumah tanpa menyedari Rylee tertidur di tempat duduk penumpang belakang kenderaan itu.

Mereka meletak kereta di situ sejak jam 9 pagi dan sebaik masuk ke dalam rumah, pasangan itu terus menonton program di saluran Netflix.

Beberapa jam kemudian, pasangan itu mahu keluar untuk mengambil kakak kepada Rylee dan baru menyedari bahawa mangsa sebenarnya berada di dalam kereta.

Susulan kejadian, pasangan berkenaan yang baru tinggal bersama sejak dua minggu lalu didakwa di mahkamah di negara ini, atas tuduhan menyebabkan kematian mangsa.

Dalam pada itu, polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk sama ada pasangan berkenaan ada mengambil bahan terlarang sehingga berlaku kecuaian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 8:01 AM