STADIUM Napoli ditukar nama menjadi Stadium Diego Armando Maradona. FOTO AFP
STADIUM Napoli ditukar nama menjadi Stadium Diego Armando Maradona. FOTO AFP
AFP

Buenos Aires: Napoli secara rasmi menamakan semula stadium keramat mereka, San Paolo kepada Stadium Diego Armando Maradona bagi memperingati legenda mereka itu.

Pemain Argentina itu meninggal dunia 25 November lalu pada usia 60 tahun.

Napoli, kelab Itali yang diterajui Maradona untuk dua gelaran Serie A, Piala UEFA dan Piala Itali sepanjang tujuh, antara kelab yang paling menangisi pemergian Maradona.

Ketika mendedahkan percubaannya untuk melakukan perubahan itu minggu lalu, presiden kelab Aurelio De Laurentiis mengakui usaha itu bermula sejak 17 tahun lalu.

"Saya berbincang dengan pihak berkuasa tempatan sejak 17 tahun lalu, saya sering memohon untuk membeli stadium itu dan menamakannya Diego Armando Maradona.

"Jika terpaksa mengikut tradisi untuk memanggilnya San Paolo dan Maradona, kita akan menggunakan kedua-duanya.

"Ia tidak akan mengubah apa-apa, tetapi Maradona berhak mendapat pengiktirafannya.

"Jika saya terpaksa membina stadium baharu, saya akan menamakannnya sebegitu," kata De Laurentiis.

Sementara itu, nama Maradona juga akan terpahat di salah sebuah jalan raya di Buenos Aires selepas ia dicadangkan oleh ahli parlimen bagi menghormati legenda bola sepak berkenaan.

Mereka mahu meletakkan namanya menjadi sebahagian daripada jalan raya menuju ke Stadium Argentinos Juniors, pasukan di mana Maradona memulakan kariernya pada usia 15 tahun. Arena itu sudah pun menggunakan namanya pada tahun 2004.

Cadangan terbaru ini juga bertujuan untuk mewujudkan 'tarikan pelancongan, sukan dan budaya" di kawasan 30 blok di sekitar stadium sebagai 'penghormatan tetap' kepada Maradona di daerah di mana beliau memulakan karier sebagai pemain bola.

"Tidak ada yang dapat menyamai kegembiraan dan kebahagiaan yang diberikan Maradona kepada rakyat Argentina. Tetapi kami berpendapat bahawa tarikan budaya dan sukan ini sangat penting untuk membuatnya tetap hidup, sekarang dan selamanya, "kata ahli majlis bandaraya Claudio Morresi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 12:20 PM