FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Washington : Malang nasib semua 27 monyet yang dimatikan menggunakan suntikan sejenis ubat di Pusat Penyelidikan Ames, Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Amerika Syarikat (NASA) di Lembah Silicon, California pada 2 Februari tahun lalu.

The Guardian melaporkan, monyet itu terdiri daripada yang sudah uzur dan 21 daripadanya mengalami penyakit Parkinson berdasarkan dokumen dikeluarkan di bawah undang-undang kebebasan maklumat.

Tindakan membunuh dan bukan menghantar monyet itu ke pusat perlindungan mengundang kemarahan pencinta serta pembela nasib haiwan yang menganggapnya keterlaluan.

Pakar Etika Haiwan Universiti New Mexico ,John Gluck berkata, tindakan itu seolah-olah menunjukkan haiwan berkenaan tidak layak mendapat perlindungan.

"Kenapa tidak mencuba (letakkan di tempat perlindungan)?

"Sebaliknya, kaedah menghapuskan menjadi pilihan dan mereka yang bertanggungjawab sepatutnya malu dengan perbuatan itu," katanya.

Wakil Ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Kathleen Rice pula menulis surat kepada pentadbir NASA, Jim Bridenstine untuk menuntut penjelasan mengenai kematian haiwan berkenaan

Rice yang juga ahli politik dari Parti Demokrat, memaklumkan beliau memohon pertimbangan penyelidik dan pemerintah AS berhubung soal polisi membabitkan haiwan dalam penyelidikan.

"Saya menantikan penjelasan daripada Bridenstine dan alasannya mengapa haiwan ini ditangkap dan dimatikan dalam keadaan terpaksa daripada menjalani hidup mereka di tempat perlindungan," kata Rice kepada Guardian.

NASA sudah lama menggunakan haiwan itu dalam uji kajinya.

Ham, seekor cimpanzi dilatih NASA sebelum dihantar menyertai misi ke angkasa lepas pada 1961.

Namun, semua monyet yang dimatikan tahun lalu tidak digunakan dalam misi angkasa lepas , sebaliknya ia dijaga bersama NASA dan LifeSource BioMedical.

Entiti kedua itu adalah pusat penyelidikan ubat berasingan dan memajak ruang di pusat penyelidikan NASA itu yang menempatkan monyet berkenaan.

Sementara itu, jurucakap NASA berkata; "Nasa tidak mempunyai sebarang primat bukan manusia di fasilitinya atau di mana-mana fasiliti yang dibiayai pihaknya."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 2:40 PM