PENGAWAL Kebangsaan mengawal ketat bangunan Capitol menjelang upacara angkat sumpah presiden AS yang baharu. FOTO EPA
PENGAWAL Kebangsaan mengawal ketat bangunan Capitol menjelang upacara angkat sumpah presiden AS yang baharu. FOTO EPA
AFP

Washington: Presiden Donald Trump menjadi presiden Amerika Syarikat (AS) pertama yang berdepan pendakwaan sebanyak dua kali ketika berada di Rumah Putih.

Ia selepas Dewan Perwakilan negara itu pada Rabu mengundi untuk mendakwa Trump berhubung tindakannya yang didakwa menyebabkan serangan di bangunan Capitol, minggu lalu.

Senat tidak akan menjalankan perbicaraan itu sebelum 20 Januari (ketika majlis angkat sumpah Joe Biden sebagai presiden baharu), dan ini bermakna Trump mungkin tidak akan diusir dari Rumah Putih.

Namun, beliau akan meninggalkan Rumah Putih dalam keadaan paling memalukan dan berdepan dengan tindakan pendakwaan.

Selain itu, beliau berisiko untuk tidak layak untuk bertanding bagi pilihan raya presiden pada 2024.

Trump sebelum ini terselamat ketika tindakan pendakwaan kali pertama terhadapnya, kira-kira setahun lalu, selepas Senat yang dikuasai Parti Republikan membebaskannya daripada tuduhan berhubung salah guna kuasa.

Bagaimanapun, kali ini, tuduhan berkaitan dengan ucapan disampaikannya di depan khalayak umum pada 6 Januari yang mendakwa Biden 'mencuri" kemenangannya dan mereka perlu berarak ke Capitol dan menunjukkan 'kekuatan'.

Penyokongnya kemudian menyerang bangunan Capitol, mencederakan seorang anggota polis, merosakkan perabot serta memaksa ahli politik melarikan diri untuk bersembunyi ketika upacara bagi mengesahkan kemenangan Biden berlangsung.

Seorang peserta perhimpunan mati ditembak dan tiga lagi meninggal dunia, dan seorang lagi anggota polis Capitol turut maut akibat kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 9:42 AM