Masjid al-Aqsa di bandar lama Baitulmaqdis yang juga antara masjid terpenting bagi umat Islam. FOTO AFP
Masjid al-Aqsa di bandar lama Baitulmaqdis yang juga antara masjid terpenting bagi umat Islam. FOTO AFP
Agensi

Washington: Pentadbiran Joe Biden tidak akan menarik balik pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sebaliknya, akan memberi Palestin sebuah negara yang berhak diterima rakyatnya.

Calon Setiausaha Negara Antony Blinken dilapor berkata demikian ketika ditanya Senator Republikan dari Texas, Ted Cruz pada sidang senat.

Blinken menunjukkan bahawa Biden akan berusaha untuk pengasingan negara buat Palestin namun, sedar akan kesukaran proses itu.

"Kaedah terbaik untuk memastikan masa depan Israel sebagai negara Yahudi, negara demokratik dan memberi rakyat Palestin sebuah negara yang mereka berhak adalah melalui apa yang disebut penyelesaian dua negara.

"Secara realistiknya sukar untuk melihat kemajuan proses itu dalam jangka pendek. Apa yang penting adalah memastikan kedua-dua pihak tidak mengambil langkah menjadikan proses itu semakin sukar dan mencabar," katanya.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada Disember 2017 dan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv pada Mei tahun berikutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 12:18 PM