PENUMPANG di terminal Lapangan Terbang John F. Kennedy di New York City. FOTO AFP
PENUMPANG di terminal Lapangan Terbang John F. Kennedy di New York City. FOTO AFP
BERNAMA

Geneva: Pegawai kanan di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin memberi amaran penularan Covid-19 akan terus berlaku meskipun proses vaksinasi besar-besaran sudah diadakan di kebanyakan negara, lapor agensi berita Xinhua.

Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO Dr Michael Ryan berkata, beliau tidak percaya semua pihak boleh beranggapan bahawa penyebaran virus itu sudah dapat ditangani.

"Itu bukan penanda aras kejayaan. Penanda aras kejayaan adalah keupayaan untuk mengekang virus ini daripada terus menyebabkan kematian, mengakibatkan individu dirawat di hospital dan ia tidak lagi menghancurkan ekonomi dan kehidupan sosial," katanya pada sidang media maya.

Ditanya sama ada Covid-19 akan menjadi endemik, beliau menegaskan bahawa pada masa akan datang, vaksin itu 'tidak akan mampu untuk menghentikan penularan dan kita akan menyaksikan penularan terus berlaku'.

Selain itu, Ryan berjkata, semua negara perlu menyedari bahawa virus itu tidak dapat dilenyapkan pada tahun ini.

"Sepanjang sejarah manusia, kita hanya mampu menghapuskan satu sahaja penyakit iaitu cacar dan kita perlu mencapai peringkat di mana kita dapat mengawal virus Covid-19 ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 11:09 AM